Rabu, 30 Oktober 2013

Dulu dipuja,kini dipijak...

Perkahwinan merupakan suatu perkara yang sangat suci bagi agama Islam dan menyatukan dua jiwa yang saling menyintai. Perkahwinan ini dapat mengelakkan diri daripada melakukan maksiat dan melahirkan zuriat yang suci. Semakin hari semakin rancak kita mendengar keganasan terhadap wanita terutama sekali apabila suami yang memukul isteri. Kenapa hal ini berlaku? Adakah ini salah diri mereka,persekitaran atau faktor ekonomi? Sepatutnya si suami yang menjadi pelindung kepada si isteri. Namun kini tidak lagi kerana si suami tergamak memukul isteri. Walhal si isteri terpaksa melalui kesusahan dalam mengandung, melahirkan dan menjaga anak. Namun balasan yang diberi ialah sepak terajang daripada suami yang tidak bertanggungjawab. Erti perkahwinan bagi wanita ialah perjudian. Jika bernasib baik maka akan dapat suami yang sangat menyayangi diri hingga akhir hayat. Jika tidak bernasib baik maka meranalah seumur hidup.



Persoalan mengapa keganasan dalam rumah tangga berlaku selalu bermain diruangan benak kita. Hal ini berlaku kerana tekanan hidup yang tinggi. Bagi mereka yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur akan mengalami tekanan hidup yang tinggi. Tinggal dibandar besar memerlukan belanja yang besar kerana setiap kali kita melakukan pergerakan haruslah mengeluarkan wang walaupun hanya untuk masuk ke tandas membuang air kecil. Bagi mereka yang sudah berkeluarga akan meningkat belanja harian. Kadang-kadang, mereka yang telah berkeluarga ini akan bekerja lebih daripada dua pekerjaan sehari untuk menampung keperluan harian mereka sekeluarga. Untuk melepaskan penat lelah seharian mencari nafkah maka kemarahan tersebut akan dilepaskan kepada isteri dan anak-anak. Sepatutnya perkara sebegini tidak terjadi.
 
Selain itu, ada orang ketiga dalam rumahtangga. Statistik di mahkamah syariah menunjukkan punca utama perceraian adalah dengan kehadiran orang ketiga dalam sebuah rumahtangga tersebut. Apabila si isteri tahu bahawa si suami mempunyai ‘kekasih gelap’ diluar maka akan tercetus kemarahan si isteri. Isteri mana yang sanggup apabila dipermainkan oleh suami. Nak jaga isteri dan anak-anak pun tidak termampu. Inikan mahu pasang lagi satu. Kekasih gelap itu pulak kaki cukur atau kikis. Lagi meranalah hidup si isteri tersebut. Bila duit sudah habis banyak pada kekasih gelap bila balik rumah mengamuk dan pukul sepak terajang isteri. Patutkah begitu? Mana kesedaran sivik? Wanita sepatutnya dibelai dan disayang bukannya disepak terajang.

Walaupun secara lahiriahnya kita beragama Islam (bagi bangsa Melayu) namun ilmu di dada tentang Islam masih tidak cukup. Tidak kisahlah ilmu didada cukup atau tidak. Itu bukan menjadi persoalannya disini. Yang menjadi persoalannya, adakah kita tahu tentang perkara asas dalam rukun Islam dan rukun Iman. Sepatutnya rukun Islam dan rukun Iman ini yang wajib kita ingat hingga ke liang lahad. Cukuplah jika tahu rukun Islam dan rukun Iman untuk menjadi panduan hidup kita sebagai hamba Allah dimuka bumi ini. Sekiranya rukun Islam dan rukun Iman masih lupa maka cuba bayangkan apa yang terjadi pada hidup kita? Apabila adanya kedua-dua rukun ini, ia akan menjadi panduan hidup dan menghormati manusia lain. Sebab itu, keganasan rumahtangga masih menjadi-jadi kerana iman di dada tidak utuh. Mudah hanyut dengan syaitan. Maka isterilah yang selalu dipersalahkan dengan setiap apa yang terjadi. Padahal, isteri ini selalu mendoakan kesejahteraan suaminya.Ini tidak, asal balik rumah saja nak sepak terajang isteri. Isteri juga manusia yang mempunyai perasaan. Jika suami itu mempunyai iman didada yang kuat maka tidak terniat pun dihati mereka ingin memukul isteri. Pada waktu itu, syaitan akan kalah kerana si suami sangat dekat dengan agama Allah.

Terdapat beberapa jenis penderaan seperti pemangsa akan menyerang pada muka, tangan, badan dan kaki mangsa. Selain itu, pemangsa akan membaling atau merosakkan harta benda.pemangsa selalunya akan membaling alat perkakas atau apa-apa sahaja yang mudah dicapai dan memusnahkan harta dirumah. Penderaan mencekik juga merupakan perkara biasa yang dilakukan pemangsa dan perbuatan ini jelas bahawa pemangsa lebih berkuasa sementara mangsa hanya merayu memohon belas kasihan. Penderaan juga dilakukan dengan penderaan mental seperti melemparkan cacian dan kejian sebelum mendera secara fizikal.




Kesimpulannya, Allah jadikan kita berpasangan agar saling melengakapi dan menyayangi antara satu sama lain. Allah jadikan Hawa daripada tulang rusuk Adam. Ini bermakna seorang wanita yang bergelar isteri menjadi pendamping di sisi buat lelaki yang bergelar suami. Isteri tidak minta dijunjung dan tidak minta untuk dipijak. Sebelum berbuat sesuatu, suami haruslah memikirkan setiap pengorbanan yang dilakukan isteri. Jika isteri melakukan kesalahn, tegurlah dengan berhemah. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan